Petikan Pemahaman
TUN DR.MAHATHIR
Baca dan fahami petikan di bawah.
Tun Dr.Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.
Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang adik-beradik. Tun Dr.Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Government English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.
Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Tun Dr.Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Semasa di kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.
Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (MBBS) dari Universiti Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, beliau telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.
Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr.Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII College of Medicine berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahaya mata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mokhzani), Mukriz (kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.
Subscribe to:
Posts (Atom)
No comments:
Post a Comment